Angah dah lama sakit. Sebelum detect kanser, Angah ada buat pembedahan buang tumor dekat rahim, ada la 2 kali kut. Seingat aku masa aku sekolah rendah & arwah Tok sihat lagi. Lepas tu sihat alhamdulillah. Beberapa tahun lepas tu, doktor kesan Angah ada kanser ovari. 1st session buat treatment kemoterapi pakai ubat yang kesan rambut tak gugur. Lepas tu ok. Tak berapa lama kemudian, doktor advise untuk buang rahim sebab kanser dah attack rahimnya dan untuk mengelakkan sel kanser merebak ke organ lain. Satu keputusan yang agak sukar bagi seorang perempuan.
Lepas buat operation, dikatakan sel kanser dah tak ada. Tak berapa lama lepas tu, timbul balik sel kanser, Angah buat sesi kemoterapi yang kesan ubatnya menggugurkan rambut. Lagi sekali Angah sedih, tapi kitorg bagi semangat. Memang orang yang buat kemo ni akan jadi tak larat, tapi Angah kuat semangat. Lepas habis semua sesi kemo, tak lama kemudian rambut Angah pun tumbuh balik.
Di samping tu, macam-macam ubat doktor & tradisional Angah try untuk mengubati sakit kanser ni. Makan pun berjaga, tak semua jenis makanan yang Angah dapat makan. Kesian juga kalau Angah pergi kenduri mana-mana tak dapat nak makan sangat sebab kebanyakannya oily food. Angah juga ada pergi mendapatkan rawatan Darul Syifa' sama-sama dengan arwah Nenek sebelum ni. Last treatment yang Angah buat ialah radiotherapy.
Masa second last Angah admit hospital, Mama mintak Angah duduk kat umah Mama supaya boleh jaga makan minum sementara pulihkan tenaga. Lagi satu senang ulang-alik hospital sebab dekat. Memang Angah nampak sangat tak bertenaga lepas keluar hospital haritu. 2 minggu lebih kut Angah kat umah Mama. Angah Laki & Mamat gilir-gilir tidur umah. Kalau dengan Mama garang sikit, kena paksa makan. Orang sakitkan biasa tak lalu makan. Seronok tengok Angah dapat makan sepinggan habis.
Kalau Angah balik rumahnya, duduk bertiga je dengan Angah Laki & anak bujangnya, Mamat, yang kadang-kadang takde kat umah ada urusan lain. Duduk kat umah Mama at least Angah sentiasa ada teman. Aidan pun ada boleh ceriakan hari Angah dengan telatahnya. Aidan manja tau dengan Angah. Kadang-kadang minta didukung walaupun Angah dah tak larat nak angkat Aidan yang dah membesar. Kadang-kadang diusapnya kaki Angah, agaknya tengok ada orang tengah urut kaki Angah.
Sampai satu malam tu (Selasa kut) Angah mengadu susah nak bernafas. Kalau ikutkan kata doktor melalui check-up hari sebelumnya, hati Angah dah membengkak 3 kali ganda dari saiz normal. Sel kanser dah merebak ke hati. Terus bawak ke hospital dan admit. Doktor cakap dah takde harapan. Doktor bagi ubat tahan sakit aje. Dekat seminggu Angah kat hospital. Kadang-kadang Angah mamai, kadang-kadang mengerang sakit serba tak kena, kalau malam meracau. Adui kesian tengok keadaan Angah time tu. Masing-masing bergilir tidur kat hospital teman Angah. Nasib dapat single room, tidur ramai-ramai pun takde hal. Aku tak dapat nak tidur sekali, ada anak kecik. Kalau dulu bolehla. Ada sekali time belajar cuti semester 2 minggu tiap-tiap malam aku tidur hospital Pusrawi Jln Ipoh teman Angah time tu lepas operate. Pergi balik bawak kete kancil merah manual Angah Laki.
Hari Khamis malam, Mama panggil geng Marhaban baca Yassin kat umah lepas Isyak. Kami diberitahu keadaan Angah kat hospital sangat tak memuaskan, jadi lepas habis majlis kami ke hospital. Aidan aku tinggalkan bersama Makngah & Maksunya di rumah (adik-adikku dah berada di hospital sejak balik dari kerja dan balik umah bila tengok Angah sedikit ok). Masa tu dah pukul 11pm lebih. Dekat hospital, time memalam pelawat ada limitation kalau nak masuk. Tapi disebabkan keadaan Angah yang tak menentu, atas budi bicara, guard bagi masuk bilik Angah. Time tu tengok Angah tengah menahan sakit. Lebih kurang sejam kitorg kat hospital. Dalam pada tu Angah sempat jugak suruh kitorg balik sebab katanya dah tengah malam, esoknya hari keje. Hari-hari seterusnya, keadaan Angah stabil.
Hari Isnin cuti Hari Malaysia, seharian dekat hospital. Ramai saudara-mara dekat & dari kampung, jiran tetangga & kawan-kawan Angah datang melawat sebab Angah pun dah nampak tenat. Bilik Angah kedengaran dengan bacaan Yassin. Hari Selasa 17 September 2013, masuk kerja. Dah plan time lunch nak pergi hospital tengok Angah dalam pukul 12.30pm. Dah siap nak keluar tu Mama (yang memang dah balik semula ke hospital lepas balik sekejap kul 7am) call kata Angah dah tenat sangat. Terus balik umah ambil Abah & Aidan, hubby pun terus balik rumah. Kami ke hospital untuk berada di sisi Angah sampailah Angah menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam pukul 5.15pm. Angah Laki & Mamat ada di kiri kanan Angah masa tu. Innalillahiwainnailaihirojiun. Sesungguhnya dari Dia kita datang, dan kepada Dia kita kembali. Semoga Angah Laki & Mamat tabah atas kehilangan ini.
Sepanjang Angah perempuan hidup, dia sentiasa ceria. Amat disenangi oleh kawan-kawannya dengan sifat kelembutan yang ada pada dia. Dia la makcik yang lembut budi bicara. Angah ambil upah jahit baju kurung sambil kerja pejabat. Baju raya kitorg sebelum ni dia yang jahit. Kebiasaannya baju anak buah & adik-beradiknya malam raya baru dapat siap. Ye la, customer lain lebih priority kan. Ada jugak rasa nak belajar menjahit dengan dia sebelum ni, tapi tak pernah sempat dan nampaknya hajatku tak kesampaian. Kena belajar sendirilah gamaknya.
Pakaian arwah dibahagi-bahagikan pada adik-beradik & anak buah, seterusnya saudara mara sebagai tanda kenangan. Kami ambil baju kurungnya, yang memang muat & saiz lebih kurang sama. Pada malam ketiga tahlil, kami sepakat pakai baju kurung arwah warna merah sebab merah adalah favourite colour arwah.
Mama, adik-adik, sepupu & anak buah. Abaikan aksi Aidan yang sekarang tak boleh nak duduk diam itu.
Setiap kali melewati hospital Gleneagles, nak-nak masa balik dari kerja, terasa macam ada urge untuk singgah. Gleneagles dah sinonim dengan Angah perempuan. Al-fatihah buat arwah Pn. Latipah binti Sainan, 1955-2013. Semoga roh Angah dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

No comments:
Post a Comment